Followers

29 February, 2012

Syukur

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana beberapa doa yang dimuatkan dalam blog ini telah dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pengunjung.


Terbaru seorang blogger telah dapat menyelesaikan masalah mereka setelah mengamalkan suatu doa yang disarankan dalam blog ini. Alhamdulillah. Klik


Di bawah ini ditampalkan catatan beliau.

"Alhamdulillah, selepas mengamalkan doa ini, hati saya menjadi tenang dan dipermudahkan segala kesulitan yang saya hadapi dan yang paling best, semuanya dah selesai dengan izin Allah...Alhamdulillah...."

15 December, 2011

Doa Mohon Kebaikan dan Perlindungan Daripada Keburukan Masa Sekarang dan Akan Datang

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana membuka hati saya untuk membuat entri baru pada hari ini.

Betapa pada realitinya, kita sering berdoa kepada Allah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi pada masa sekarang. Sebagai contoh, jika salah seorang daripada ahli keluarga tidak sihat, maka kita menadah tangan berdoa kepada Allah SWT agar ahli keluarga tadi sembuh dsb. Namun kita jarang berdoa kepada Allah minta elakkan bahaya atau keburukan yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Baru-baru ini seorang rakan forumer telah upload doa ini dalam forum group Darussyifa'. Doa ini sering dibaca oleh Tuan Guru Ustaz Haron Din (TGUHD) pada akhir majlis zikir atau selepas solat. Jadi di sini saya kongsikan doa tersebut untuk manfaat kita bersama.

Terima kasih kepada rakan forumer group Darussyifa' dan juga kepada TGUHD.

12 July, 2011

Doa Mohon Keselamatan, Kesihatan dan Tolak Bala

Assalamu'alaikum wm wbr.
...
Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya menggerakkan hati saya untuk meng'update' blog ini yang sudah sekian lama tidak dikemaskini. 
...
Pada kesempatan ini sukacita saya berkongsi suatu doa yang saya petik daripada rangkaian "Doa-doa mustajab selepas majlis zikir mengikut hajat" susunan Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din. 
...
Seperti biasa adab-adab berdoa perlulah diperhatikan, dan ketika berdoa tumpukan sepenuh hati, penuh mengharap, mengadu kepada Allah SWT, serta fahami setiap patah doa yang dibaca. Alhamdulillah, dengan rendah hati dan penuh kesyukuran kepada Allah SWT (bukan untuk menunjuk atau bermegah), penulis pernah mengecap rasa nikmat berdoa yang mana masalah penulis terlerai ketika sedang membaca doa ini. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. 

Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-hambaMu, anak-anak dari hamba-hambaMu Ya Rahman. Ubun-ubun kami ada dalam genggamanMu, telah terdahulu ketetapanMu bagi kami, telah adil qada' dan qadarMu bagi kami, kami meminta dengan nama-namaMu yang telah Engkau sebut untuk diriMu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah seorang  hambaMu, atau nama yang Engkau rahsiakan dalam ilmuMu yang ghaib, agar Engkau kurniakan kepada kami kesihatan dan keselamatan, afiat dan keselamatan yang kekal dalam agama, dunia, dan akhirat dengan rahmatMu Ya Allah, wahai Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani.



10 November, 2010

Doa Mohon Kesembuhan Sakit Yang Kronik

Assalamu'alaikum wm wbr.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat sihat dan nikmat masa lapang kepada saya lantas membolehkan saya berkongsi sedikit pengetahuan melalui entri di sini.

Sejak akhir-akhir ini keluarga biras saya (isteri abang ipar) mengalami musibah yang bertimpa-timpa. Baru-bari ini adik perempuannya meninggal dunia akibat barah usus, pada masa yang sama adik lelakinya masuk hospital sebab bengkak leher dan setelah di"scan" disahkan mengidap barah darah. 

Kita juga sering terdengar berita kawan-kawan, sahabat handai, jiran sekampung mengalami pelbagai jenis barah dan kadang-kadang pada tahap ke-4.

Jadi apakah upaya kita untuk membantu mereka yang sedang ditimpa musibah tersebut? Selain daripada perubatan moden (hospital - kaedah allopathy), kita boleh juga berikhtiar dengan perubatan alternatif seperti menggunakan herba-herba yang tertentu, atau dengan kaedah perubatan Islam seperti yang diamalkan oleh Darussyifa'.

Di samping itu pesakit bolehlah beramal dengan ayat-ayat al-Quran sebab al-Quran ialah "Syifa' bagi manusia." (Al-Israa':82)




Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. 


Alhamdulillah, saya berpeluang menghadiri satu majlis yang dipimpin oleh Syeikh Paiz, adik kepada Dato' Murtadza Bin Ahmad, mantan Mufti Negeri Sembilan. Dalam majlis tersebut Syeikh memberitahu supaya pesakit-pesakit yang mengidap sakit yang kronik seperti barah dan sebagainya, maka hendaklah ia melazimkan membaca surah al-Waqiah, mudah-mudahan ia sembuh dengan izin Allah SWT.

Mari kita lihat hadis-hadis mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Hadis riwayat Baihaqi dari Ibnu Mas'ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Jelas hadis-hadis Nabi mengenai fadhilat surah al-Waqi'ah ini menyentuh tentang mengelak kemiskinan.  Jika diteliti dengan lebih lanjut lagi, rupa-rupanya miskin dalam definisi apabila dihuraikan melalui Bahasa Arab ialah miskin kesihatan, miskin wang ringgit, miskin jiwa, miskin ilmu dan sebagainya. Definisi miskin ini begitu subjektif bagi bahasa mereka. Ianya bermaksud kekurangan atau perkara yang tiada pada mereka.


Jadi orang yang sedang sakit juga dikatakan miskin, iaitu miskin sihat - tidak sihat. Maka dengan itu ikutilah saranan para Allamah, lazimkanlah membaca surah al-Waqi'ah dan berdoa dengan tulus ikhlas agar Allah SWT menyembuhkan penderitaan yang kita alami dari penyakit yang kronik tersebut.


Di bawah ini dinyatakan kaedah amalan surah al-Waqi'ah yang saya petik daripada Internet.
Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya
  • Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.
  • Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.
  • Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.
Di samping itu disarankan agar pesakit membaca doa mohon kesembuhan daripada penyakit selepas membaca surah al-Waqi'ah tersebut (dipetik dari laman web Darussyifa').



Alhamdulillah, semoga kita mengambil manfaat daripadanya.

29 August, 2010

Doa Supaya Orang Zalim Bergaduh Sesama Sendiri

Assalamu'alaikum wm wbr.

Seperti yang pernah saya perkatakan dalam entri yang terdahulu bahwa pada masa sekarang terlalu ramai orang yang hasad dengki dan orang yang zalim di sekeliling kita. Sehingga guru menasihatkan agar kita merahsiakan segala nikmat atau segala musibah yang menimpa diri kepada orang lain sebab dikhuatiri berita tersebut akan mengundang iri hati (jika kita mendapat nikmat), atau menyebabkan ditambahkan lagi kemudharatan kepada kita, atau sekurang-kurangnya berasa puas dan gembira di atas kesusahan yang menimpa kita. 

Pada zaman mutakhir ini, ramai pula yang berkroni atau bersuku sakat yang mana para kroni mempunyai perangai yang sama antara satu sama lain, dan saling ampu mengampu supaya terus kekal diterima sebagai kroni yang setia. Jika salah seorang daripada ahli mereka memusuhi seseorang maka keseluruhan ahli kroni turut memusuhi orang tersebut. 

Di bawah ini terdapat satu doa untuk memohon agar Allah SWT mengkucar-kacirkan pakatan mereka (agar para kroni bergaduh sesama sendiri), dan akhirnya kita terselamat daripada kezaliman mereka, insyaAllah.


Kaedah Amalan:

Baca doa di atas 7x selepas solat Subuh dan 7x selepas solat Maghrib.

Nota:

Doa di atas boleh digabungkan dengan doa-doa dalam entri yang terdahulu mengikut kesesuaian. Sebagai contoh, kita boleh gabungkan doa di atas dengan doa supaya terlepas dari kezaliman orang kafir (surah Yunus 85-86).


06 August, 2010

Doa Mengelak Rancangan Jahat Musuh

Assalamualaikum wm wbr.

Hidup di dunia ini penuh dengan pancaroba. Ke mana sahaja kita pergi, di mana sahaja kita bekerja, atau di mana sahaja kita berkampung halaman, kita akan bertemu dengan berbagai ragam manusia. Ada yang ikhlas ingin berkawan dan berteman dengan kita, ada yang berkawan sebab ingin mendapat sesuatu daripada kita, tetapi tidak kurang juga yang menaruh hasad dengki dan dendam kesumat kepada kita. Yang lebih teruk lagi ialah orang-orang hiprokrit, atau bermuka-muka.  Di hadapan kita tidak ada sekelumitpun riak kebencian yang dipamirkan. Tutur kata semuanya manis-manis belaka, tetapi di belakang kita dia menaruh rancangan yang jahat untuk menjatuhkan kita dsb.  Orang yang sebegini sebenarnya telah hilang pertimbangan dan sedang mengikut nafsu atau ajakan syaitan.

Alhamdulillah, untuk menjauhi rancangan jahat musuh, maka kita telah dibekalkan dengan suatu doa yang ampuh yang telah diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran iaitu seperti pada ayat 54 surah Ali Imran:


Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. 

Kaedah Amalan:


1. Untuk keadaan biasa (aman)

Baca 33x waktu pagi dan 33x waktu petang.  Maksud pagi ialah waktu selepas solat Subuh sehingga masuk zohor.  Maksud petang ialah selepas Asar sehingga tengah malam.

2.  Jika keadaan kritikal (Kita tahu ada orang dengki dan sedang merancang sesuatu)

Baca 313x waktu pagi dan 313x waktu petang.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dan menggagalkan rancangan jahat musuh, Amin.

Wallahuaklam.

23 July, 2010

Doa Ketika Berhadapan Dengan Orang Zalim Atau Binatang Buas

Assalamu'alaikum wm. wbr.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT yang menggerakkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala apa yang ada di antaranya.  Pujian yang banyak lagi melengkapi nikmat-nikmat-Nya dan yang menarik tambahan kurnia-Nya.

Ya Allah, curahkanlah selawat dan salam dan barakah ke atas penaung kami, yakni kekasihMu Muhammad dan ke atas keluarganya, pada setiap pandangan dan nafas, sebanyak bilangan apa yang diliputi oleh ilmuMu.

Para pembaca blog yang budiman. Pada kesempatan ini sukacita saya berkongsi suatu doa yang saya kira sangat pantas untuk diamalkan memandangkan berleluasanya orang-orang yang zalim, penuh hasad dan dengki yang tidak senang melihat orang lain menerima nikmat kurniaan Allah SWT.  Dewasa ini orang yang zalim dan dengki ini terdapat di mana-mana. Jika di pejabat, ia mungkin rakan sejawat kita, orang bawahan kita, hatta mungkin ketua (bos) kita sendiri yang tergugat di atas kewibawaan atau potensi kita untuk pergi lebih jauh daripada mereka. Jika bos menaruh perasaan dengki, dendam kesumat  dsb. kepada kita, maka ini merupakan suatu mala petaka bagi kita. Al-maklum bos mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, termasuk hal-hal kenaikan gaji, pengesahan jawatan, sokongan melanjutkan pelajaran dan sebagainya.  Dia akan sedaya upaya membuatkan hidup kita tidak keruan.  

Di sini saya ingin memberi nasihat kepada bos yang sedemikian, agar segera insaf dan bertaubat kepada Allah SWT dan meminta maaf kepada orang yang telah dianiaya olehnya.  Takutilah doa orang yang teraniaya. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa orang yang teraniaya dengan Allah SWT. Apa yang ditakuti ialah, orang yang teraniaya hilang kesabarannya dan mendoakan kehancuran kepada orang yang zalim.

Oleh itu, sekiranya ada di antara pembaca yang menhadapi kemungkinan dizalimi, dianiaya, dsb, maka disarankan agar mengamalkan doa di bawah ini agar kita terhindar daripada kezaliman mereka. Doa ini dikenali sebagai AYAT SATU yang merupakan sebahagian daripada ayat ke-15 surah Asy-Syura.



Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amalan-amalan kami dan bagi kamu amalan-amalan kamu.  Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu. Allah menghidupkan kita dan kepada-Nyalah kita kembali.  Asy-Syura: 15

Kaedah Amalan:

1.  Bacalah ayat di atas 7x selepas tiap-tiap solat fardu serta dibayangkan hadir musuh kita itu dan makrifatkan ada dinding antara kita dengan musuh.  Jika tidak berkesempatan, bacalah tiap-tiap lepas solat Subuh dan Maghrib.

2. Jika sedang berhadapan dengan musuh, atau orang-orang yang zalim, atau orang-orang yang ditakuti, atau binatang-binatang buas, maka bacalah ayat ini 1x sahaja, InsyaAllah akan terlepas dari aniaya dan kejahatan mereka -- dengan syarat telah melakukan amalan no.1 di atas dengan istiqamah. InsyaAllah

Sekian, wasalam.