09 September, 2015

06 February, 2014

PEMBATAL SIHIR

Assalamu'alaikum wbt.


SIHIR ialah suatu fenonena yang sering berlaku pada masyarakat, bukan sahaja pada masa ini malah ia telah berlaku sejak zaman dahulu kala lagi iaitu pada zaman Babylon dan pada zaman Mesir purba lagi.


Sihir ini terdiri daripada berbagai-bagai jenis namun kesemuanya itu dilakukan oleh manusia yang ada penyakit dalam hati mereka melalui perantaraan makhluk halus atau apa yang disebut dalam al-Quran iaitu jin.


Tujuan sihir itu dilakukan ialah untuk mendatangkan mudharat kepada orang tertentu (target) agar target tadi jatuh sakit, merana, putus tunang, tiada jodoh, bercerai dengan pasangannya, rugi dalam perniagaan, gila, tergila-gila akan seseorang, tidak dapat melafazkan akad nikah, hilang nafsu syahwat (mati pucuk), muntah darah, mati dan sebagainya - terlalu banyak jenis-jenis kemudharatan jika hendak diperincikan satu persatu di sini.


Di Indonesia, sihir ini dikenali sebagai santet, guna-guna, teluh, dan pelet. Di Malaysia kita sering berjumpa dengan istilah-istilah seperti buatan orang, santau, tuju, pelalau, busung, pengasih, penunduk, pemisah, penguat, pengunci, pengikat, penyeri muka, pelaris, dan sebagainya.
Islam melarang manusia melakukan sihir - hukumnya adalah haram. Nabi S.A.W. bersabda:

"Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, iaitu:
1. Menyekutukan Allah (syirik).
2. Sihir.
3. Membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak. 
4. Makan harta riba.
5. Makan harta anak yatim. 
6. Lari dari peperangan.
7. Menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagian ahli fiqih menganggap, bahwa sihir itu berarti kufur, atau membawa kepada kufur.

Justeru amalkan ayat-ayat berikut untuk membatalkan sihir dan juga sebagai pendinding daripada sihir. Ayat-ayat tersebut ialah:

1. Surah Yunus ayat 81 - 82.
2. Surah al-A'raf ayat 118 - 122.
3. Surah ThoHa ayat 69.
4. Surah an-Nisa' ayat 84.
5. Surah Yusuf ayat 64.



 وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنْكِيلًا (an-Nisa'84).


فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (Yusuf 64).


Kaedah Amalan.


1. Baca ayat-ayat di atas setiap lepas solat subuh dan isya' (diwiridkan 1x setiap ayat).


2. Untuk mengubat jika terkena sihir/guna-guna/santet/buatan orang dsb.
    1)  Fatihah 1x    

    2)  Selawat 1x

    3)  Ayat-ayat pembatal sihir 1x

    4) Doa "Ya Allah, ku pohon pada Mu agar Engkau batalkan sihir ini dengan kekuatan Mu wahai Tuhan Yang Maha Perkasa."

Sekian, semoga entri saya kali ini memberi manfaat kepada kita sekelian. Amin.

Maaf sekiranya font dalam entri ini tidak sekata sebab saya menggunakan mobile version untuk edit entri.

Wasalam.


12 April, 2013

Zikir untuk Menjauhi dan Melepaskan Daripada Bala


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِه


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas segala nikmat yang telah dilimpahkan-Nya kepada kita semua. Selawat dan salam ditujukan kepada Rasulullah S.A.W., Nabi akhir zaman serta keluarga dan sahabat baginda.

Sesungguhnya Allah SWT mempunyai nama-nama yang mulia sebagaimana firman-Nya:
وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
  "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu" (al-A'raf: 180)

Salah satu daripada nama-nama Allah tersebut ialah al-Latif yang bermaksud "Maha Lembut".  Para ahli sufi/toriqat ramai yang melazimi zikir Ya Latif dalam bilangan yang tertentu seperti 100x, 129x, 1000x dan sebagainya. Dan para arifin juga sering berdoa dengan menggunakan isim Ya Latif ini. Salah satu doa/zikir yang bersandarkan kepada nama al-Latif ini ialah seperti pada doa di bawah ini.  Doa ini dibaca untuk memohon agar Allah SWT menjauhi dan melepaskan kita daripada bala. Sebagai contoh, sekiranya kita atau ahli keluarga sedang ditimpa sesuatu musibah seperti sakit dsb, maka lazimilah membaca doa ini sebanyak yang mampu.

يَا لَطِيْفُ لَمْ ﺗَﺰَلْ. اُلْطُفْ بِنَا فِيْمَا نَزَلْ
 اِنَّكَ لَطِيْفٌ لَمْ تَزَلْ. اُلْطُفْ بِنَا وَالْمُسْلِمِيْنَ
Lihat video di bawah ini kalau nak tahu rentak zikirnya, tetapi dalam video ni hanya zikir Ya Latifu Lam Tazal saja. Sambunglah innaka latifun lam tazal ... untuk zikir kedua-duanya.



Sekian, semoga bermanfaat. Amin.

30 November, 2012

Doa Perlindungan Daripada Kecurian


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Segala pujian dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah melimpahkan nikmatnya yang tidak terhingga sama ada nikmat-nikmat tersebut disedari ataupun tidak disedari oleh kita. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan nikmat Islam.

Hari ini sementara saya ada mood untuk berbelog, ingin saya menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi iaitu sebelum solat Jumaat di Masjid al-Azim, Melaka.

Ceritanya ... 

Setelah keluar daripada kereta yang diparkir diperkarangan masjid, saya mengeluarkan notebook daripada bag dan meletakkannya di atas bumbung kereta (kes malas nak bawa bag komputer ke dalam masjid). Setelah itu saya mencapai kerusi plastik (pada masa ini saya solat duduk atas kerusi sebab kena gout) dan terus berjalan ke masjid. Saya lupa langsung tentang notebook yang diletakkan di atas bumbung kereta tadi. Sebelum menutup pintu kereta saya berdoa kepada Allah SWT agar kereta dan barang-barang yang ditinggalkan dalam kereta tersebut selamat daripada kecurian. 

Setelah berada dalam masjid kira-kira 5-10 minit baru saya teringat akan notebook yang diletakkan di atas kereta tadi. Jadi dengan hati yang berdebar-debar dan penuh mengharap saya bergegas semula ke tempat parkir. Alhamdulillah! Syukur kepada-Mu Ya Allah, sebab nun di atas bumbung kereta kelihatan notebook yang seakan-akan sedang menanti dengan sabar akan kedatangan saya untuk mengambilnya kembali (notebook pun hendak masuk masjid jugak, he he). 

Inilah doa yang saya baca semasa menutup pintu kereta tadi. Sekian, semoga entri ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekelian. Wasalam.

Malas nak taip doa ini, so saya copy paste daripada blog darussyifa' cawangan Brunei Darussalam. Inilah link doa tersebut: http://darusysyifawarrafahah.blogspot.com/2011/09/doa-pelindung-dari-kecurian.html


28 October, 2012

Gelas Pecah Waktu Dinihari

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Pecah kaca pecah gelas ...

Kejadian ini berlaku sebelum subuh pada 22 Oktober 2012. Ketika isteri saya menuangkan air teh ke dalam gelas ini, air membuak-buak dan kaca terus pecah. Ada kemungkinan gelas ini pecah sebab air terlalu panas atau gelas telah retak dan sudah sampai waktunya untuk pecah.


Cuba perhatikan, gelas ini pecah bukan di tempat penyambungnya. Air yang dituang tidaklah terlalu panas, panas sedikit daripada "suam-suam kuku" dan sedang sedap untuk di minum.

Gelas pecah bukan pada garis cantuman asal.
Merenung kembali kejadian tersebut, terdapat beberapa perkara yang menjadi tanda tanya saya dan isteri:

1. Sebelum kejadian ini, pada petang 21 Oktober 2012 saya ada membantu merawat seorang pesakit yang terkena gangguan makhluk halus.

2. Pada petang hari kejadian - 22 Oktober, 2012 - semasa saya sedang memandu untuk pulang ke rumah selepas kerja, saya menerima panggilan daripada seorang suri rumah yang meminta saya merawat suaminya yang terkenan 'santau'. Semasa saya merawat pesakit tersebut, setiap kali diruqyah, darah keluar daripada mulut pesakit. Pada permulaannya darah yang keluar adalah kental berbuku-buku, yang menandakan itu adalah darah lama yang berada dalam kerongkong pesakit. Selepas itu darah cair keluar bersama lendir. Pesakit kerasukan dan alhamdulillah, Allah SWT telah menyembuhkan beliau.

Apa-apa pun saya memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana kejadian ini tidak berlaku ke atas ahli keluarga saya. Segala pujian dipanjatkan kepada Allah Rabbul Jalil yang telah menyelamatkan saya daripada musibah yang mungkin berlaku dalam kejadian tersebut. Kejadian ini mengingatkan saya supaya lebih berhati-hati dan sentiasa meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada kejadian yang tidak diingini.

Ya Allah, kepada Engkau aku berlindung dan kepada Engkau aku meminta pertolongan.

اللهم أشف مرضانا ﻭﺻﺤﺢ أجسادنا وَشَتِّتِ  ﺷﻤﻞ أَعِدَائِنَا  
وانصرنا على من عادانا برحمتك يا ارحم الراحمين




Ya Allah, Kau sembuhkanlah orang-orang yang sakit dalam kalangan kami, sihatkanlah tubuh badan kami, pecah belahkan kesatuan musuh-musuh kami, tolonglah kami ke atas sesiapa yang memusuhi kami dengan rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Menyayangi.

Amin, Amin, Ya Rab al 'alamin.

04 September, 2012

Doa Mohon Bantuan Untuk Mengingati Allah SWT


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Kadang-kadang kita rasa liat dan sangat payah untuk beristiqamah melakukan zikir harian. Justeru ini haruslah kita memohon kepada Allah SWT agar memudahkan kita sentiasa berzikir kepada Allah SWT dan mensyukuri segala nikmat kurniaan-Nya.

Inilah doa tersebut yang telah diajarkan oleh Nabi SAW kepada saidina Muaz bin Jabal a.s.


الْلَّهُمَ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ 

(Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, dan bersyukur di atas nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu)


03 September, 2012

Doa Perlindungan Daripada Bersedih, Berhutang, Dan Sikap Negatif


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sekiranya kita dilanda dengan perasaan sedih atas sesuatu perkara, atau runsing sebab bebanan hutang yang banyak, maka adalah disarankan beramal dengan doa di bawah ini. 

Doa ini dibaca pada waktu pagi dan petang iaitu selepas subuh dan  selepas asar atau maghrib. Seelok-eloknya jadikanlah doa ini sebagai rangkaian doa yang dibaca seusai solat.  

Seperti biasa, mulakan doa dengan istighfar, fatihah, dan selawat terlebih dahulu. Dan kemudian  barulah berdoa dengan sepenuh hati dengan memahami makna doa yang dipohon tersebut. 

Sekian, selamat beramal.



الْلَّهُمَ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَ الْحَزَنِ , وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَ الْكَسَلِ , وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَ الْبُخْلِ , وَ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَ قَهْرِ الْرِّجَالِ

(Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada perasaan keluh kesah dan berdukacita, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sikap lemah dan malas, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sifat takut dan bakhil, dan aku berlindung dengan-Mu daripada bebanan hutang dan kekerasan lelaki (penindasan orang)).